Ahad, 24 Julai 2011

Qari & Qariah Malaysia Juarai Tilawah Al-Quran


KUALA LUMPUR – Qari dan Qariah dari Malaysia, Amirrahman Abas dan Suraya Abu Hassan masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu malam.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM32,200, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sebelum ini, Amirrahman dan Suraya muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Johan qari memperoleh pungutan markah sebanyak 89.26 peratus manakala johan qariah mendapat 88.33 peratus.

Sementara itu, Saudi M. Gandisa dari Filipina (88.67 peratus) dan Noor Khalidah Kaspul Anwar (88.30 peratus) dari Indonesia masing-masing muncul sebagai naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dari Mesir iaitu Abdel Bast Mohamed (87.88 peratus) dan qariah dari Singapura Nur Azizah Sholichin (86.17 peratus) yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM13,600, cenderamata serta sijil penyertaan.

Peserta-peserta lain menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ itu berlangsung selama lapan malam sejak 16 Julai lepas dan disertai 81 peserta termasuk 50 qari, dari 50 negara termasuk Sri Lanka, Sudan, Thailand, Senegal serta Gambia.

Turut berangkat Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun.

Sementara itu, Amirrahman,29, yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau amat bersyukur dengan kejayaan itu meskipun kurang sihat pada hari pembacaan sekaligus dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata kemenangan itu akan menjadi pendorong mendidik generasi muda agar bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu Al-Quran.

Suraya, 39, juga mengakui tidak menduga akan mendapat kejayaan itu setelah menjadi johan qariah pada peringkat kebangsaan dan pernah mendapat tempat naib johan peringkat antarabangsa pada 2002.

“Cita-cita saya telah tercapai untuk menjulang kejuaraan pada peringkat antarabangsa selepas berehat dari bidang tilawah selama sembilan tahun,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Majlis tilawah itu diadili oleh 15 Jemaah Hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustapha, manakala timbalannya ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM Razali Shahabuddin. – BERNAMA

saya peroleh berita yang menarik ini dari http://mynewshub.my/bm/2011/07/24/qari-qariah-malaysia-juarai-tilawah-al-quran/ 

Walaupun tengok secara LIVE Majlis Penyampaian pada last2 minute, sangat seronok...
Alhamdulillah Malaysia punyai ramai pelapis yang hebat2 dalam bidang Tajwid, Tarannum, Fasohah & sebagainya...

Jadi tunggu apa lagi kawan2, banyak video2 belajar Tarannum & lain2 dari Youtube & sebagainya....

Amat rugi kalau tak punyai ilmu dalam bidang Tajwid & sebagainya, bacalah Al-Quran selalu ya...!

Kalau kita yang Islam dari lahir tapi tak mengamalkannya, jadi siapa pula ya..?
Fikir2kan & selamat beramal...

Pesanan untuk pemilik blog & sahabat2 sekalian...

Kalau ada salah tegur2 ya, saya merayu itu...!

Yang Baik itu datang dari Maha Pencipta, Yang Buruk itu kelemahan & kekhilafan diri sendiri...
~Wallahualam~ 

 

1 ulasan:

amir aizat berkata...

akhirnya tahun ni johan juagk

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mantap tak?